13 May 2011

Juta Ria

Juta Ria adalah sebuah game yang berkonsepkan rancangan kuiz “More Jutaria” yang disiarkan di TV1 pada tahun 1988. Permainan ini boleh dimainkan oleh 3 pemain dengan pilihan karakter yang berbeza.

Apa yang menarik adalah permainan ini diedarkan secara percuma untuk semua dan mungkin sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia lampau rancangan kuiz yang paling popular pada ketika itu.

12 May 2011

Pencuri

Pencuri adalah sebuah game yang berasaskan pada corak kepermainan klasik Pac Man dengan penampilan 3D serta karakter yang unik dan menarik. Objektif utama dalam game ini ialah mengumpul kesemua duit syiling 20 sen dan melepasi halangan polis yang bertugas menjaga di kawasan tertentu.

Pencuri bukan sahaja boleh mengelak daripada tembakan polis, malah boleh menembak dengan pistol laser yang disediakan di kawasan khas pada setiap level. Walau bagaimanapun, penggunaan pistol laser adalah terhad kerana setiap tembakan akan mengurangkan tenaga untuk menembak.

Game ini dikeluarkan sebagai demo untuk percubaan dan hanya mempunyai dua level sahaja. Dahulunya adalah AGMA Interactive dan kini adalah ShockingLabs dengan nama baru.

11 May 2011

Area Combat

Area Combat adalah sebuah permainan bergenre shoot’em up dengan pengendalian jet pejuang yang memberikan pengalaman bermain yang seronok. Malah game ini memberikan cabaran melawan musuh yang kuat dengan penerapan Artificial Intelligence (AI) yang pintar dan aksi kejar mengejar dan tembak menembak menambahkan lagi keseronokan bermain.

Walaupun menggunakan grafik biasa akan tetapi kepermainan game ini amat memuaskan dengan menyediakan empat level dan musuh yang berbeza.

Oleh kerana game ini telah dibangunkan khas untuk platform MS-DOS, maka perisian tambahan iaitu DOSBox (Emulator DOS) diperlukan untuk melancarkan game ini bagi sistem pengoperasian baru seperti Windows XP, Windows Vista dan Windows 7.

8 May 2011

Masalah sakit tengkuk dan sakit belakang

Baru sekarang ada masa terluang untuk mengemaskini laman Bina Game yang sepatutnya diharapkan sentiasa mempunyai kiriman terkini setiap hari. Namun, tahap kesihatan tidak mengizinkan setelah kembali bercuti pada hari pekerja yang lalu kerana sakit tengkuk dan sakit belakang menyerang.

Mulai dari hari ini, kiriman terkini tidak mungkin akan dikirimkan setiap hari kerana masalah sakit tengkuk dan sakit belakang ini amat perit sekali dan menyukarkan untuk melakukan kerja.

Hanya Yoko Yoko dan Tiger Balm Plaster-RD yang menemani ketika kiriman ini ditulis. :’(

2 May 2011

Memilih game untuk pertandingan MSC Malaysia IPCC 2011

Pertandingan MSC Malaysia IPCC 2011 kali ini memperuntukkan agar mengikuti tema yang telah dipilih iaitu identiti Malaysia. Maka, game yang ingin dibangunkan untuk pertandingan ini juga perlu diterapkan identiti Malaysia sebagai syarat utama dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

Hasil daripada penyelidikan mengenai identiti Malaysia yang dapat aku senaraikan disini ialah:

1. Jalur Gemilang (Bendera Malaysia)

2. Jata Negara

3. Rukun Negara

4. Bunga Raya (Bunga Kebangsaan)

5. Harimau (Logo Proton, Maybank, FAM)

Walau bagaimanapun, masih banyak lagi simbol atau identiti Malaysia yang boleh digunakan untuk tujuan pembangunan permainan. Antaranya ialah nasi lemak, karipap, dodol dan sesuatu yang berkaitan dengan budaya rakyat di Malaysia.

Genre game pilihan telah aku tetapkan tetapi masih belum muktamad kerana aku perlu membuat penyelidikan dan kesesuaian identiti Malaysia dengan game yang akan dibangunkan.

Mampukah game yang dipilih ini berkembang dan pergi lebih jauh? Suatu persoalan yang aku perlu ada jawapan dengan melihat pada kemampuan kepermainan game yang dipilih berserta dengan pembawaan tema identiti Malaysia yang bersesuaian. ketiadaan internet semasa berada di Semanggol, Perak menyukarkan aku untuk mencari maklumat tambahan.

Aku berharap agar game ini akan mampu berkembang daripada platform Windows ke JAVA Mobile dan seterusnya Flash pada Facebook Apps serta tidak ketinggalan, iOS di masa akan datang. Insya-Allah.

2 May 2011

Cuti Hari Pekerja

Sempena cuti hari pekerja, masa diluangkan bercuti di Semanggol, Perak. Oleh kerana ketiadaan talian internet, maka laman Bina Game tidak dapat dikemaskini seperti biasa dengan perkembangan terbaru.

Semasa berada di sana, aku mengambil kesempatan mengambil gambar panorama hijau yang sungguh indah yang mungkin akan dapat memberikan idea game atau sebaliknya. Satu perkara yang aku paling suka semasa berada di sana ialah dapat menghirup udara segar yang sekaligus menyegarkan fikiran. Sesuatu yang mustahil aku akan dapat rasakan apabila berada di Kuala Lumpur.

Syukur alhamdulillah, berkat balik kampung pada musim cuti hari pekerja memberikan aku satu idea yang cukup menarik dan unik untuk digunapakai dalam pembangunan permainan bagi pertandingan MSC malaysia IPCC 2011 nanti.

29 Apr 2011

Memikirkan game untuk MSC Malaysia IPCC 2011

Aku masih lagi memikirkan game apa yang patut dibangunkan untuk pertandingan MSC Malaysia IPCC 2011. Menerapkan identiti Malaysia pada game memang mudah, hanya dengan menjadikan jalur gemilang sebagai latarbelakang sudah boleh dikira menepati ciri-ciri sebuah game yang membawakan identiti Malaysia.

Namun, aku lebih menitikberatkan nilai sesebuah game. Jika aku membina klon game kepada Bejeweled dengan membawa tema beridentitikan Malaysia, sudah tentu menarik tetapi persoalannya adakah game tersebut mempunyai nilai komersial? Hal ini kerana terdapat banyak klon game Bejeweled pada ketika ini. Malah, hakim pertandingan MSC Malaysia IPCC 2011 sudah tentu akan berasa muak dengan pengenalan klon game seperti Bejeweled.

28 Apr 2011

Casual Games dengan tema identiti Malaysia?

Pertandingan MSC Malaysia IPCC 2011 bertemakan identiti Malaysia, sesuatu yang baru dan pertama kali diperkenalkan pada tahun ini. Sebelum ini, cadangan tema ciptaan bagi Casual Games untuk pertandingan ini adalah berkaitan dengan angkasa raya akan tetapi terpaksa diubah kerana tidak sesuai dan perlu mengikuti tema yang disediakan oleh penganjur pertandingan.

Sehingga kini masih tidak pasti dengan genre game yang bakal dibangunkan kerana kurang yakin pada kekuatan idea game yang difikirkan sekarang.

27 Apr 2011

MSC Malaysia IPCC 2011 bertemakan identiti Malaysia

Terdapat banyak perubahan dalam pertandingan MSC Malaysia IPCC 2011 pada kali ini. Antaranya adalah penggabungan kategori Computer Casual Games dengan Mobile Games kepada Casual Games sahaja. Maka, terdapat tiga sahaja kategori pilihan untuk disertai pada musim ini.

Selain itu, senarai pemenang bagi kategori Casual Games bertambah kepada 10 pemenang dengan syarat bahawa game yang dibangunkan adalah siap sepenuhnya. Begitu juga dengan kategori lain bertambah kepada 20 pemenang dan hadiah adalah berbeza mengikut kategori.

Namun, perubahan yang amat besar pada pertandingan kali ini adalah dengan penggunaan tema yang bercirikan identiti Malaysia wajib diterapkan pada hasil ciptaan.

26 Apr 2011

MSC Malaysia IP Creators Challenge (IPCC) 2011 bermula

Pertandingan MSC Malaysia IP Creators Challenge (IPCC) 2011 telah dibuka mulai hari ini iaitu pada 26 April 2011, sempena dengan sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) 2011.

Kepada pembangun kandungan kreatif multimedia diluar sana, MSC Malaysia IPCC 2011 telah kembali dengan bergaya pada tahun ini. Adakah anda telah bersedia untuk merubah hasil daya kreativiti anda menjadi realiti dan menggemparkan industri multimedia kreatif di Malaysia?

Jangan lepaskan peluang ini, klik pada pautan MSC Malaysia IPCC 2011 sekarang juga.

Pages:1234»